Peragut buat aksi lompat bumbung bangunan mati terjatuh

ragut

PETALING JAYA: Aksi seorang peragut ala pelakon filem James Bond yang melompat dari bumbung sebuah hotel bajet ke bahagian bumbung sebuah rumah di Lebuh Chulia berakhir dengan maut apabila dia terjatuh dalam percubaannya itu.

Lelaki itu berbuat demikian ketika cuba melarikan diri selepas meragut seorang pelancong warga asing yang sedang minum di sebuah kedai di kawasan Lebuh Chulia.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid yang mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berlaku kira-kira 8.20 malam melibatkan lelaki berusia 29 tahun dipercayai berasal dari Trong, Perak.

“Selepas meragut telefon bimbit mangsa, lelaki terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal ditunggang rakan wanitanya yang menunggu di luar kedai berkenaan,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata mangsa bertindak melarikan diri dengan memecut laju motosikal sebelum kenderaan itu terbabas lalu melanggar tembok di tepi jalan selepas mendapati orang ramai yang terdengar jeritan pelancong mula mengejarnya.

Katanya kedua-dua mereka terjatuh sebelum lelaki itu bertindak melarikan diri, bagaimanapun rakan wanitanya berusia 23 tahun berjaya ditahan oleh orang ramai yang berada di situ.

Mior menambah, lelaki itu kemudiannya melarikan diri ke arah sebuah hotel bajet di situ sebelum naik ke tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Dia kemudian melompat dari tingkat tiga hotel bajet itu untuk ke bumbung bangunan sebelah sebelum terjatuh. Lelaki berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi,” katanya.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala wanita yang ditahan itu akan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pelancong dari Sepanyol berusia 30-an yang disamun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia turut membuat laporan polis, katanya.