Azmin beri sokongan moral kepada keluarga Aminulrasyid

azmin

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini hadir ke rumah keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati terkena tembakan polis enam tahun lalu, bagi memberi sokongan moral.

“Kita hadir untuk menyatakan sokongan moral kepada keluarga Allahyarham. Kita doakan roh Allahyarham mendapat husnul khatimah, pengakhiran yang baik dan ditempatkan disyurga.

“Ini bukan soal pampasan yang telah ditetapkan oleh mahkamah tetapi adalah maruah keluarga beliau dan keluarganya yang telah difitnah sebagai seorang penjenayah,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Aminulrasyid di Seksyen 11, di sini.

Selain Azmin, beberapa pemimpin pembangkang dan pemimpin Kerajaan Selangor turut hadir antaranya, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga negeri, Dr Daroyah Alwi.

Sementara itu, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamed, 66, berkata kemenangan itu secara tidak langsung membersihkan nama baik keluarganya serta Aminulrasyid.

“Saya ucapkan kesyukuran yang teramat kerana apa yang saya minta selama ini Allah SWT sudah makbulkan, itu sahaja.

“Keputusan yang kita dapat alhamdulillah. Bukan kerana wang tapi bersihkan maruah saya, keluarga saya, anak saya. Maruah bukan boleh dibayar dengan wang ringgit,” katanya.

Keluarga Aminulrasyid memperoleh ganti rugi RM414,800 selepas berjaya dalam tuntutan saman terhadap Koperal Jenain Subi dan empat anggota polis yang lain.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan tuntutan berkenaan selepas mendapati pihak keluarga mangsa berjaya membuktikan dakwaan mereka terhadap defendan.