Polis tak tahu gengster ambil rizab Orang Asal

PETALING JAYA: Polis tidak tahu menahu mengenai dakwaan wujudnya gengster mengawal Kampung Orang Asli Sungai Melut di Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supt Abdul Aziz Ali, berkata polis tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Sepang.

“Kami tidak menerima sebarang laporan polis mengenai dakwaan mengenai ancaman gengster di Kampung Orang Asli Sungai Melut.

“Jika Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Sepang (MPS) menghubungi kami dan buat laporan, kami akan siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Baru-baru ini, FMT mendedahkan kegiatan gengsterisme di Kampung Orang Asli Sungai Melut di Sepang yang mengawal rizab pertanian Orang Asal Sungai Melut.

Meskipun, Orang Asal kawasan itu membantah dan cuba mengambil tanah mereka semula, namun diugut dengan senjata menyebabkan Orang Asal di situ ketakutan dan berdiam diri.

Kegiatan terbabit didakwa sudah berlarutan sejak tiga tahun, yang mana gengster dikatakan mengambil alih tanah milik Orang Asal dan dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

Malah, Orang Asal Sungai Melut turut mendakwa, kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dihalau gengster yang mengawal kawasan pelupusan sampah atas rizab Orang Asal berkenaan.

Kelmarin, YDP MPS, Datuk Puasa Md Taib mengakui kakitangannya termasuk penguatkuasa diancam gengster setiap kali mahu memasuki bagi tujuan siasatan terhadap kawasan berkenaan.