IGP: Saya tidak akan memohon maaf kerana…..

khalid-abu-bakar_aminulrasyid_600

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan punca sebenar kepada media mengenai keengganan beliau memohon maaf kepada keluarga Aminulrasyid Amzah.

Penjelasan itu dibuat Khalid selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis lalu mendapati beliau bersalah kerana kemungkiran awam berhubung kematian remaja, Aminulrasyid Amzah yang ditembak oleh anggota polis, Koperal Jenain Subi, enam tahun lalu.

Selain itu, penjelasan berkenaan juga bertujuan menjawab desakan pelbagai pihak terhadap beliau yang mahu meminta maaf kepada keluarga Aminulrasyid.

Semalam, Sinar Harian Online melaporkan penjelasan Khalid menerusi ucapannya pada program Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini.

“Saya mendapat banyak pertanyaan sama ada akan mohon maaf selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam buat keputusan terhadap kes sivil kematian Aminulrasyid. Saya tidak akan memohon maaf kerana kenyataan yang dibuat ketika itu adalah berdasarkan kepada fakta kes itu pada masa itu.

“Kalau mahkamah tidak membincangkan kewujudan dalam parang dalam kereta itu… itu bukan masalah saya. Tapi faktanya parang itu wujud dalam kereta itu dan kalau kita tengok rekod tengok pun, parang itu dihantar ke jabatan kimia untuk dibuat ujian. Tapi oleh kerana fakta parang tidak dibangkitkan semasa kes sivil itu..itu bukannya masalah saya,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul soalan untuk beliau minta maaf kerana didakwa berbohong atau sengaja buat kenyataan untuk lindungi anggota polis.

“Itu tak benar. Jadi, tiada sebab mohon maaf. Saya tidak berlagak sombong atau riak tapi saya berpegang pada fakta kes itu. Saya tak pernah sebut arwah menggunakan parang itu saya cuma kata parang ditemui dalam kenderaan itu.

“Jadi jangan ada orang cuba nak memusingkan dan mengolah cerita lain pula… saya beri amaran jika ada pihak lain buat cerita lain saya akan ambil tindakan kerana apa yang saya sebut semasa menjadi Ketua Polis Selangor adalah berdasarkan fakta,” katanya.