ADUN Duyong Goh Leong San masih ahli DAP

dap

PETALING JAYA : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San yang dilaporkan menjadi ADUN Bebas, masih lagi ahli parti DAP yang sah dan tidak dipecat.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Khoo Poay Tiong berkata, Leong San hanya digantung keahliannya selama setahun.

Tambahnya, surat yang ditandatangani Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kepada Speaker DUN Melaka, Datuk Othman Muhamad bertarikh 8 Mac lalu hanya menyebut dua perkara sahaja iaitu pelantikannya sebagai Ketua Pembangkang dan ADUN Bandar Hilir, Tey Kok Kiew sebagai Ketua Whip DAP.

“Ingin (saya) tegas di sini bahawa dalam surat tersebut tiada sebut langsung tentang kedudukan ADUN Duyung Gong Leong San,” katanya menerusi kenyataan.

Poay Tiong yang juga merupakan ADUN Ayer Keroh turut menjelaskan pada 15 Mac lalu, beliau telah menulis surat rasmi kepada Othman untuk mencadangkan susunan tempat duduk ADUN DAP.

“Dalam surat tersebut saya telah cadangkan supaya tempat duduk Goh Leong San adalah sebaris dengan semua ADUN DAP. Tempat duduk beliau dicadangkan berada di tempat ketiga selepas tempat duduk Ketua Pembangkang dan Ketua Whip DAP,” katanya.

Katanya, beliau diberitahu oleh Othman bahawa Leong San telah meminta ditempatkan di kerusi ADUN Bebas.