Tandatangan SD jika mahu dokumen Taman Manggis- TKM II

p-ramasamy

PETALING JAYA: Kerajaan Pulau Pinang hari ini mempertikaikan keengganan Pemuda GERAKAN negeri menandatangani akuan berkanun (SD) yang akan membolehkan mereka mengambil dokumen tanah Taman Manggis.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, berkata pihaknya sedia menyerahkan dokumen tanah Taman Manggis, namun GERAKAN perlu bersumpah untuk tidak mengedarkannya.

“Saya tidak pasti sama Jason Loo (Ketua Biro Aduan Awam dan Undang-Undang Pemuda GERAKAN negeri) mahu publisiti murahan atau dia benar-benar berminat untuk mendapatkan dokumen tanah Taman Manggis itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT di sini, hari ini.

“Dalam hal berkaitan dokumen yang diubah status rasmi, EXCO negeri menetapkan mana-mana orang yang mencari maklumat perlu menandatangani SD. Ia hanya untuk memastikan dokumen itu tidak diedarkan.”

Meskipun telah membayar RM150 untuk mendapatkan dokumen tanah Taman Manggis mengikut Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) Pulau Pinang 2010, Jason Loo Jieh Sheng semalam memberitahu, beliau diminta menandatangani SD yang menghalang isi kandungan dokumen tanah Taman Manggis dikongsi dengan orang awam.

Jason enggan menandatangani akuan berkanun itu.

“Dia hanya mahu buat kecoh mengenai kesukaran mengambil dokumen melalui enakmen itu,” kata Ramasamy, kerana sebenarnya EXCO boleh menggunapakai prosedur baharu seperti menandatangani akuan berkanun menyekat pengedaran dokumen.

“Maka, apa yang susah sangat bagi Jason untuk menandatangani SD tersebut?” tanya Ramasamy.