Lim Guan Eng makin terdesak , kata Rahman Dahlan

PETALING JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa semakin terdesak untuk mempertahankan dirinya dalam skandal pembelian banglo RM2.8 juta yang dibeli di bawah harga pasaran semasa.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, Guan Eng terpaksa menggunakan taktik lama yang digunakannya sejak sekian lama – menuding jari kepada BN.

Beliau berkata, Guan Eng juga makin terdesak selepas terpaksa mengaku beliau sebenarnya tahu harga semasa banglo itu selepas ditunjukkan dokumen yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengenakan duti setem dan penilaian banglo pada harga RM4.2 juta.

DAP bagaimanapun mendakwa media tersilap lapor sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Seperti kebiasaannya Guan Eng akan menuding jari kepada BN dan sekarang mendakwa media tersilap lapor,” kata Rahman dalam program Soal Jawab di TV3, malam tadi.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, selepas lebih tujuh tahun menjadi Ketua Menteri, Guan Eng masih dengan sikap lama iaitu suka menyalahkan pihak lain khususnya BN.

Katanya, dalam kempen PRU-12 pada 2008, Guan Eng dan DAP mahu rakyat Pulau Pinang menolak BN kerana gagal mengatasi masalah kesesakan, penjualan tanah oleh kerajaan negeri dan masalah harga rumah yang melambung.

“Saya mahu tanya kepada rakyat Pulau Pinang, selepas hampir lapan tahun, adakah masalah-masalah ini telah diatasi oleh kerajaan DAP?

“Kita dapat lihat masalah kesesakan masih berlaku, penjualan tanah kerajaan juga masih berlaku dan begitu juga dengan harga rumah. Baik pulangkan semula Pulau Pinang kepada BN,” kata Rahman.

Mengulas kaitan penjualan banglo itu dengan penjualan tanah Taman Manggis kepada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) pada harga RM11 juta, Rahman berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menyiasat.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan awal dan dokumen-dokumen yang diperolehi menunjukkan, pemilik asal banglo itu, Phang Li Koon ada hubungan dengan individu yang memiliki KLIDC.

“Perkara ini saya serahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.