PLKN membazir, baik batalkan saja – Pemuda AMANAH

PLKN

PETALING JAYA: Kerajaan didesak supaya menghentikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana didakwa program untuk lepasan sekolah itu membazir wang negara.

EXCO Pemuda AMANAH, Ahmad Fadli Umar Aminolhuda berkata, dana yang diperuntukan untuk PLKN boleh disalurkan untuk menaja pelajar melanjutkan pelajaran di luar negara.

“PLKN telah memakan belanja tahunan tidak kurang RM600 juta setahun. Nah, apa maknanya program yang dilihat gagal dan jelas membazir selain dipenuhi kontroversi-kontroversi memualkan seperti anak luar nikah, rogol dan kes bunuh akibat buli yang dianggarkan lebih dari 10 kes boleh dikekalkan peruntukan sedemikian banyak?

“Kami mendesak supaya kerajaan menghentikan terus PLKN dan mengembalikan semula hak biasiswa ke luar negara kepada para pelajar khususnya kepada 744 penerima ‘bursary’ dan lepasan SPM 2015,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 17 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM240 juta setahun selepas menarik semula tajaan 744 biasiswa pelajar Malaysia ke luar negara.

“Istilah ‘jimat’ kebiasaannya digunakan untuk hal-hal yang menjurus ke arah pembaziran. Adakah Kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional mahu memberikan mesej bahawa biasiswa yang dimanfaatkan untuk membina generasi terbaik selama ini merupakan satu pembaziran hingga perlu kepada ‘penjimatan’?

“Bayangkan apabila pelajar-pelajar cerdik dan cemerlang ini pulang ke negara kelak, bukankah mereka akan memberikan keuntungan pada negara apabila berkhidmat dalam sektor-sektor penting dan besar? Tidakkah itu merupakan satu pelaburan jangka panjang buat Malaysia?, tambah Fadli.