Serangan berterusan bukti Najib tidak bersalah – Azalina

KUALA LUMPUR: Semakin banyak serangan terdesak yang dibuat kepada Datuk Seri Najib Razak termasuk oleh media antarabangsa akan membuktikan Perdana Menteri sebenarnya tidak bersalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said merujuk kepada laporan khas stesen televisyen Australia, Australian Broadcasting Channel (ABC) menerusi program Four Corners yang menyerang Najib.

Beliau berkata, rakyat Malaysia bukan naif untuk menerima bulat-bulat dan mempercayai laporan seperti itu.

“Semakin banyak anda membuat tuduhan, semakin jelas anda mengakui Perdana Menteri tidak bersalah kerana anda sebenarnya terdesak.

“Kami bukan naiflah kerana serangan itu sangat konsisten dan berterusan. Serangan ini kelihatan anda memang terdesak.

“Selepas Deklarasi Rakyat, sekarang ini ada pula dokumentari antarabangsa yang menunjukkan anda bersungguh-sungguh untuk menggantikan Najib.

“Pada saya, tindakan ini sangat terdesak dan dokumentari tersebut mempunyai agenda,” katanya di Lobi Parlimen, hari ini.

Azalina berkata, laporan ABC itu tidak adil kerana menunjukkan seolah-olah semua anggota Kabinet Malaysia bersubahat dengan rasuah.

Ahli Parlimen Pengerang itu menjelaskan, Najib tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan Peguam Negara telah membersihkan Perdana Menteri daripada sebarang tuduhan salahlaku.

“Tidak adil untuk terus menerus membuat tuduhan tidak berasas terhadap beliau,” katanya.