Pemuda PAS kecewa pemimpin gagal selesaikan masalah rakyat

Ir Khairil Nizam Khirudin

PETALING JAYA: Rakyat perlukan pemimpin, bukan badut!”

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir Khairil Nizam Khirudin berkata demikian sambil menyampaikan kekecewaannya ekoran kegagalan pemimpin memberi penyelesaian kepada masalah rakyat selain mengeluarkan kenyataan yang tidak cerdik.

Beliau memberi contoh kenyataan Menteri Pelancongan, Nazri Aziz yang mengatakan gembira dengan kejatuhan nilai wang ringgit kerana menggalakkan pelancongan dan kemudian akui jumlah pelancong melawat Malaysia pada 2015 hanyalah sebanyak 25.7 juta berbanding 27.4 juta pada tahun sebelumnya.

“Adalah sangat mengecewakan bila mana menteri-menteri seperti ini dibiar terus menerajui kerajaan. Sudahlah gagal untuk mencapai KPI yang ditetapkan, sombong bila ditegur dan tidak mampu memberikan penyelesaian kepada masalah rakyat. Rakyat perlukan pemimpin, bukan badut untuk bergelak ketawa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Khairil Nizam juga mengajak menteri-menteri ini supaya menerima hakikat bahawa kejatuhan nilai ringgit, kurangnya jumlah pelancong adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan menunjukkan nilai intergriti.

“Skandal rasuah dan tadbir urus dalam kerajaan khususnya melibatkan Perdana Menteri memberikan imej buruk kepada negara serta merosakan peluang pasaran negara,” katanya.

Oleh itu, Khairil Nizam menegaskan bahawa sudah sampai masanya untuk melaksana satu perubahan besar yang bukan sahaja sekadar mengubah senarai kabinet sedia ada, tapi membubarkan terus parlimen untuk mengadakan Pilihanraya Umum semula.

“Ini sahaja ruang yang ada untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur serta pelancong terhadap keupayaan kepimpinan negara mengurus negara.”