Laporan PAC tidak ‘bersihkan’ Najib -Tony Pua

Tony-Pua

KUALA LUMPUR: Laporan Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) masih tidak membersihkan Datuk Seri Najib Razak, walaupun nama Perdana Menteri tidak disebut secara langsung dalam laporan yang dibentangkan semalam.

Ahli Jawatankuasa PAC, Tony Pua berkata, masih banyak dokumen yang tidak diserahkan 1MDB kepada PAC, walaupun diminta berbuat demikian.

“Laporan PAC ini banyak memberi maklumat yang sebelum ini tidak diketahui. Dokumen yang diberikan kepada PAC memang tidak menyebut nama Najib,” katanya.

Semalam, Naib Pengerusi DAP merangkap Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw mengatakan Najib tidak harus dipertanggungjawabkan ke atas skandal 1MDB, kerana beliau tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat itu.

“(Penilaian tersebut) khusus berdasarkan dokumen yang ada pada PAC. Tetapi bagaimana dengan dokumen yang tidak diserahkan? Adakah kerana dokumen-dokumen itu akan memberi implikasi kepada Najib?” kata Pua dalam sidang media.

Antara dokumen tersebut, kata Pua lagi, adalah rekod dan penyata perbankan bagi transaksi 1MDB di luar negara.

“Memandangkan dakwaan salahlaku oleh Perdana Menteri, terutama berkaitan skandal ‘derma’ USD681 juta (RM2.6 bilion) melibatkan transaksi luar negara, PAC dan juga Jabatan Audit Negara dapat membersihkan namanya.

“Sebab itulah saya minta Najib mengarahkan 1MDB untuk menyerahkan semua dokumen (yang tidak diserahkan sebelum ini) kepada PAC dan Ketua Audit Negara untuk penelitian selanjutnya. Jika tidak Najib akan terus dicemari persepsi yang beliau takutkan kebenaran,” katanya lagi.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali pada Januari lalu mengesahkan Najib bebas daripada salahlaku jenayah kerana derma RM2.6 billion datang daripada keluarga diraja Arab Saudi, bukannya dana syarikat berkaitan 1MDB seperti didakwa banyak pihak.