Cari calon bukan untuk life partner, tapi bisnes partner

wedding

“Hello, hi, apa khabar ?……. Kamu ada tak kenal sesiapa yang boleh jadi calon isteri untuk adik saya yang seorang itu. Penat mak saya cari, susah nak dapat. Saya pun hampir putus asa. Umur dia sudah 34 tahun ini….,” rungut seorang rakan baik saya yang menerusi panggilan telefon.

Memanglah sukar, sekarang ni zaman jatuh cinta, kalau harapkan orang tua yang cari lebih-lebih lagi dengan personaliti orang muda yang semakin kompleks dan rumit, tentu sukar. Keluarga saya sendiri pun ada pengalaman yang sama.

“Ada, saya kenal seorang gadis ini. Dia bekerja sebagai cikgu… cikgu sekolah menengah, mengajar Bahasa Inggeris. Cantik, kulit ‘white-ish’ tapi sedikit berisi. Setakat yang saya tahu, dia berdikari, ada kereta dan rumah. Lain-lain keterangan saya minta kamu hubungi keluarga mereka,” saya beri cadangan ringkas.

Pada masa kini, kalau berisi sikit, gelap sikit, tiada kelayakan akademik, tiada pekerjaan atau tiada kereta, memang susahlah nak dapat ‘mappilai (jejaka) idaman’. Yang dapat, kira bertuahlah anda!

Komuniti India kelas sederhana dan menengah yang saya lihat dan kelilingi pada masa kini sangat berbeza daripada yang saya pernah dekati 20 tahun yang dahulu. Mereka meletakkan syarat yang tinggi dalam berkahwin. Dari ketika mencari calon hinggalah naik pelamin termasuk memilih lokasi bulan madu, mereka sangat ‘memilih’ kononnya mahu merancang dengan teliti. Kalau salah seorang tidak suka lokasi bulan madu yang dicadang pun boleh jadi batal perkahwinan.

Sememangnya budaya dowri dan wang hantaran sudah bukan lagi isu. Malah keluarga moden sekarang tidak menggangap tradisi konservatif itu sebagai satu keperluan perkahwinan. Namun, dowri dan hantaran nampaknya sudah berubah dimensi.

Yang perempuan mencari ‘mappilai’ yang sempurna dengan kelayakan ‘5C’- Car, Credit card, Cash, Condo, Career dan bakal calon isteri seperti yang dikatakan tadi, cantik, cerah, kurus, ada pekerjaan, kereta, ijazah termasuk berdikari.

Kalau kurang satu sekalipun, susahlah!

“Eh, cikgu? Tak naklah cikgu. Adik saya nak doktor juga. Carilah kalau ada gadis yang kerja doktor. Kamu pun tahu, adik saya ni sedang bekerja di Hospital Kuala Lumpur, seorang doktor juga,” katanya.

Ini satu lagi, siap ada pilihan kerjaya dan mereka enggan bertolak-ansur.

Zaman sekarang ini, lelaki atau wanita yang mencari pasangan boleh buat deskripsi yang sangat teliti dan mendalam. Entah-entah, esok lusa siap minta calon bakal isterinya; mata macam Aiswarya Rai, bibir macam Angelina Jolie, badan macam Tasha Shila, eh, mana nak cari ni???

“Ala… suruhlah adik kamu longgarkan sikit bab kelayakan kerjaya itu. Tak semestinya doktor, nanti bertambah susah nak cari. Lagipun, sekarang zaman orang bercinta, cari letak syarat ketat sangat nanti sampai tua pun tak dapat,” saya beri teguran sambil menasihatinya dengan harapan kawan saya akan memujuk adiknya supaya mempertimbangkan gadis yang bekerja sebagai guru ini.

“Tak bolehlah, tak boleh… adik saya rancang untuk membuka klinik dalam masa lima hingga 10 tahun, kalau cikgu macam mana nak buka klinik…..?”

Eh, dia cari calon isteri untuk adik hidup bahagia atau buat bisnes?

…….

Balik rumah, saya kacau adik lelaki saya yang bekerja sebagai pegawai pemasaran. Saya tanya, kalau-kalau dia sanggup berkahwin seorang wartawan seperti saya.

“Tak naklah kak. Wartawan macam you, gaji tak besar, tak duduk rumah asyik selalu keluar assigment, balik lambat. Kalau cikgu bagus, kerja half-day, part-time boleh buka tuition center!”