Belanja RM288 juta, mengapa Arul Kanda belum disiasat?

rafizi,arul,khalid-bakar

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempertikaikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang sehingga hari ini masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Presiden 1MDB, Arulkanda Kandasamy.

Katanya, dia telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi pada 30 Mac lalu berhubung maklumat dari Laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan RM288 juta telah dibelanjakan tanpa memaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

“Saya membuat laporan tersebut supaya satu siasatan dapat dijalankan dengan segera untuk menentukan sama ada satu kesalahan jenayah telah dilakukan kerana sebarang pembayaran atau perbelanjaan sebesar itu memerlukan kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, dia menerima layanan yang berbeza dari pihak polis apabila ditahan selepas tujuh jam membuat laporan polis.

“Saya ingin mengingatkan Khalid bahawa segala tindak tanduk beliau berhubung isu 1MDB diperhatikan oleh rakyat. Jika saya boleh ditahan tujuh jam selepas laporan polis terhadap saya dibuat, kenapa sehingga sekarang Ketua Polis Negara ini belum mengeluarkan arahan agar Arulkanda juga ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hari ini, cukup dua minggu sejak saya membuat laporan polis terhadap Arulkanda dan pengurusan kanan 1MDB,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Rafizi turut menyatakan siasatan terhadap Arulkanda penting kerana beliau sering memberi alasan bahawa tidak tahu menahu mengenai pelbagai salah tadbir kewangan di 1MDB kerana ia berlaku sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

“Maka, urusniaga RM288 juta tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah 1MDB itu kini menjadi satu bukti bahawa di bawah pengurusan Arulkanda, keputusan dan urusniaga yang meragukan dan boleh disifatkan melanggar undang-undang, masih terus berlaku,” dakwanya.

Rafizi menegaskan akan menunggu sehingga Jumaat ini untuk melihat sama ada Khalid akan mengarahkan Arulkanda ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dia memulakan langkah lain yang sewajarnya.