Polis buka semula kertas siasatan 1MDB

khalid 1mdb

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan penyiasat khas bagi menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas kertas siasatannya dibuka semula, Jumaat lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah merakam percakapan beberapa individu bagi membantu siasatan dan akan terus memanggil individu berkaitan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, lapor Utusan Online.

“Kita akan menyiasat sama ada terdapat elemen jenayah dan hasil siasatan akan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-209 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Khalid, siasatan itu dibuka semula selepas pihaknya meneliti 106 halaman laporan yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.