Anthony Loke dihalang, Kit Siang pula dibenarkan ke Sarawak

Anthony-Loke_sarawak_600

PETALING JAYA: Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke merupakan individu terbaru yang dihalang menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang.

Bagaimanapun, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tiba bersamanya di Lapangan Terbang Miri dibenarkan memasuki Sarawak.

“Baru sahaja mendarat di Lapangan Terbang Miri bersama Lim Kit Siang. Dia (Lim) dibenarkan masuk, tetapi saya pula disekat, diusir kembali ke Kuala Lumpur dengan segera,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin dan Datuk Jamal Yunos yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar disekat memasuki Sarawak.

Menjawab isu tersebut, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang dilaporkan BERNAMA semalam berkata, Kerajaan Negeri Sarawak tidak memihak kepada mana-mana kelompok atau kecenderungan politik seseorang individu itu dalam melaksanakan larangan ke negeri itu.