Saya akan terus desak Najib undur – Muhyiddin

muhyiddin_najib_600

MUAR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak akan berputus asa mendesak Datuk Seri Najib Razak supaya berundur dari jawatan Perdana Menteri.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan bagi menyelamatkan negara daripada terus menanggung beban dan kerugian terutamanya berhubung skandal dalam 1MDB.

“Ada tanya boleh berjaya ke usaha saya ini? Saya jawab berjaya atau tidak bukan isunya. Tetapi jika anda (rakyat) tidak melakukannya sekarang dan biar dia (Najib) terlepas, dia akan terus berkuasa dan kekal selamanya.

“Kalau Najib tidak berhenti, negara kita akan terus berdepan masalah,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO yang digantung jawatannya itu berkata demikian ketika berucap dalam program ‘Pidato Selamatkan Malaysia” di sini malam semalam.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu bertegas, berkata apa yang penting adalah rakyat perlu mengetahui tujuan utama desakan supaya Najib berundur.

“Dengan itu saya minta semua di dalam dewan ini menanda tangan Deklarasi Rakyat, minta Najib berhenti. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlarutan (masalah 1MDB),” katanya.

Muhyiddin berkata demikian di hadapan 1,000 peserta program yang turut disertai oleh Parti Amanah Negara (AMANAH), Gerakan Ketua Cawangan UMNO (GKCM).

Selain itu, turut hadir dalam program itu ialah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub dan Suhaizan Kaiat.

Sebelum program itu berakhir, semua peserta turut melaungkan slogan ‘Undur Najib’ dan disambut dengan tepukan gemuruh semua peserta.