Tujuh sindiket pemerdagangan manusia aktif di utara tanah air

khalid abu bakar

PETALING JAYA: Tujuh sindiket pemerdagangan manusia yang aktif di utara tanah air membabitkan warga Malaysia, Thailand, Myanmar dan Bangladesh dikenl pasti.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, empat sindiket pemerdagangan manusia yang mempunyai 20 rangkaian dikenal pasti aktif di Perlis manakala tiga sindiket dengan 17 rangkaian aktif di Kedah.

Penemuan 159 kubur mangsa dan kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand di sini, pada Mei tahun lepas mejurus kepada pendedahan itu.

“Polis kini menggunakan alat canggih dron untuk memantau kawasan yang sukar dimasuki seperti Bukit Wang Burma,” kata Khalid dalam ucaptama pada Perbincangan Meja Bulat dan Bengkel Jenayah dan Permasalahan Sempadan di Kangar, Perlis, lapor Bernama.

Beliau juga memberitahu pihak berkuasa turut berkongsi maklumat dengan rakan Aseanapol berkaitan sindiket itu.

Selain itu, di Kelantan terdapat 128 pangkalan haram antara Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang sepanjang 29 kilometer dan daripada jumlah itu 111 pangkalan haram di Rantau Panjang didapati aktif menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sindiket penyeludupan warga China dari Malaysia ke negara ketiga menggunakan pasport Malaysia palsu atau tulen dikesan aktif kembali dengan penangkapan dua pegawai imigresen baru-baru ini, katanya.

“Di pantai barat terdapat 56 pelantar ikan khususnya di Perak menjadi kegiatan penyeludupan PATI oleh sindiket manakala di selatan terutama Johor, laluan haram banyak di Kota Tinggi, Pengerang, Ulu tiram dan Pontian.

“Pihak berkuasa juga mengesan 76 laluan haram di persempadanan Sarawak-Kalimantan manakala perairan Sabah dengan Filipina yang luas lebih mencabar dan memudahkan kegiatan penculikan, rompakan dan pengganas,” katanya.

Khalid berkata Malaysia sentiasa telus dan tidak menyembunyikan sebarang kes jenayah rentas sempadan terutama isu pemerdagangan manusia daripada pengetahuan dunia.