Guna POCA hukum pemilik pusat judi – MyWatch

sanjeevanPETALING JAYA: Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) mencadangkan agar pihak kerajaan mengenakan tindakan terhadap pemilik pusat judi di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Pengerusinya, R Sri Sanjeevan berkata, langkah itu sekali gus membendung sindiket judi yang semakin berleluasa ketika ini.

“Apa gunanya ada POCA tapi tidak mahu gunakannya ke atas operator-operator judi? Jadi saya cadang supaya mereka dihukum di bawah akta tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada FMT, sebagai reaksi kepada masalah peningkatan sindiket judi di negara ini.

Pada masa yang sama, Sanjeevan turut mengingatkan masyarakat supaya tidak hanya menunding jari kepada pihak polis apabila berlaku aktiviti tersebut sebaliknya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu turut sama bertindak membanterasnya.

“Tidak boleh hanya salahkan polis, PBT juga perlu memainkan peranan penting. Apakah PBT hanya harapkan PDRM untuk ambil tindakan?” soalnya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa aktiviti judi yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan dilindungi pihak berkuasa yang bersekongkol dengan pemilik pusat judi.

“Bukan semua tapi segelintir (kakitangan pihak berkuasa) memang terlibat (melindungi pusat judi), dan ia adalah sebab mereka gagal bertindak terhadap premis-premis tertentu,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, layanan gadis seksi, pemberian baucer sehingga RM400 dan penyediaan makanan, minuman serta rokok percuma merupakan antara kaedah terbaharu dikesan digunakan pusat-pusat perjudian untuk menarik lebih ramai remaja dan murid untuk terjebak dengan kegiatan itu.

Semantara itu, menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Roslee Chik, pihaknya sedang mengenalpasti lokasi-lokasi judi eksekutif haram yang sedang giat beroperasi di sekitar ibu kota.

Katanya, aktiviti tersebut juga meningkat susulan daripada pemilik pub dan kelab malam yang tidak mendapat sambutan sehingga memaksa pemiliknya bertukar kepada aktiviti judi haram yang lebih menarik minat orang ramai.