Parthiban pernah terima bantuan RM75,000 daripada MIC

Vell-PaariPETALING JAYA: MIC menyangkal dakwaan bahawa pihaknya tidak pernah membantu pelajar perubatan Universiti Sumatera Utara, Parthiban Sathia Seelan, 27, yang kini dihimpit dengan masalah melangsaikan yuran pengajian yang tertunggak bernilai RM85,000.

MIC memberitahu, pihaknya melalui MIED (Yayasan Pendidikan MIC) telah menawarkan pinjaman bernilai RM 55,000 selain dana Tan Sri Manickavasagam Fund bernilai RM20,000 pada tahun 2013.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri Vell Paari berkata, ekoran itu Parthiban direkodkan telah menerima RM 75,000 daripada badan-badan MIC sepanjang pengajiannya.

“Bukan itu sahaja, pada 27 Jan yang lalu,  Parthiban sekali lagi melawat MIED untuk mendapatkan dana tambahan bagi melangsaikan bayaran tertunggak yuran RM85,000.

“Pada waktu itu, MIED serta-merta menawarkan RM10,000 dan menyatakan kesediaan untuk menambah bantuan itu kepada RM20,000 dengan syarat dia (Parthiban) berusaha mencari sendiri selebih baki RM85,000. Kami juga mencadangkan beberapa saluran lain yang boleh didekati untuknya mendapatkan dana tambahan,” kata Vell Paari kepada FMT menerusi satu kenyataan media.

Beliau menegaskan MIC akan terus membantu pelajar tersebut tetapi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihaknya tidak pernah membantu.

Parthiban dilapor berdepan risiko gagal mendapat semua sijil dan ijazah perubatan jika tidak membayar yuran akhirnya yang berjumlah RM85,000.
Kegagalan membayar yuran tersebut sebelum 25 April 2016 juga akan menyebabkan ijazah perubatannya menjadi tidak sah dan impiannya menjadi doktor tidak tercapai.

Ekoran itu, sebuah akhbar Tamil tempatan mengambil inisiatif mengumpul dana awam bagi menyelesaikan masalah pelajar itu dan ia sekali gus mendapat perhatian Presiden MIC, Datuk Seri Dr Subramanian untuk membantunya.

Memandangkan sebanyak RM22,000 telah berjaya dikumpul dari dana awam, Vell Paari berjanji akan menyalurkan bayaran selebihnya iaitu RM63,000 dengan membuat pembayaran terus kepada universiti tersebut.