Pantau aktiviti ‘mak nyah’ elak jadi barah masyarakat

mak-nyah

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam negeri-negeri diminta memantau aktiviti `mak nyah’ ataupun `pondan’ di negeri masing-masing agar tidak terus berkembang ke seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pemantauan itu penting untuk mengembalikan mereka ke jalan yang sebenar.

“Golongan ini boleh menimbulkan persepsi tidak baik kepada Islam dan dibimbangi boleh menjadi ikutan generasi muda pada hari ini,” katanya selepas merasmikan Program Memperkasakan Pahlawanku di Dewan Serba Guna Guar Chempedak.

Malah, beliau turut merujuk kes jutawan kosmetik, Safiey Ilias yang sanggup membuang implan payudaranya dan kembali menjadi lelaki normal selepas sedar kesilapan lalu sebagai pondan sebagai satu tindakan terpuji.

“Kita mengucapkan tahniah juga baru-baru ni seorang yang bergelar ‘mak nyah’, dia setelah mendapat kesedaran, hidayah kembali untuk hidup sebagai lelaki normal,” kata Jamil.

Tambahnya, walaupun pihak penguat kuasa agama melakukan operasi dan pemeriksaan, Jamil khuatir kealpaan memberi perhatian kepada golongan ini akan menyebabkan ia menjadi barah dalam sesebuah masyarakat.

“Saya menyeru kepada pihak berkuasa agama untuk sentiasa memantau pergerakan ini dan mengambil tindakan perlu. Paling penting juga adalah proses, bukan peringkat penangkapan semata-mata, tapi proses untuk mengembalikan mereka ini ke jalan sebenar,” katanya.

Allah katanya tidak akan menganiaya hamba-hambanya dan akan memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka yang dikehendaki asalkan terus berdoa untuk mendapat keampunan Allah.