Wujudkan undang-undang lindungi rumah ibadat – MIPAS

S.BarathidasanPETALING JAYA: Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) menyeru agar Kerajaan Malaysia dapat membentuk satu rang undang-undang di mana semua rumah ibadat di negara ini mendapat perlindungan dan kesamarataan di sisi undang undang.

Seruan itu dibuat oleh Setiausaha Agungnya, S.Barathidasan yang turut meminta kaum India khususnya masyarakat yang beragama Hindu supaya bersabar dan membenarkan pihak polis menjalankan siasatan terperinci.

“Sebarang spekulasi hanya akan merumitkan keadaan.

“Namun, pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden tersebut harus dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang setimpal kerana perbuatannya boleh mencetuskan rusuhan kaum dan kemarahan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MIPAS juga menggesa pihak polis dan mahkamah membendung perkara seperti ini menggunakan undang-undang yang sedia ada sebagai satu pengajaran di mana perkara ini tidak akan berulang lagi.

Sementara itu berkenaan laporan bahawa lelaki itu bertindak demikian mungkin kerana tidak siuman atau disebabkan mempunyai masalah mental, MIPAS berkata ia bukan kali pertama masyarakat Hindu menghadapi keadaan sedemikian.

“Banyak laporan polis telah dibuat sebelum ini tetapi sampai hari perkara ini tiada jalan penyelesaiannya. Adakah undang-undang di negara ini tidak begitu ketat sehingga sesiapa pun boleh mengambil tindakan sesuka hati sehingga merosakkan keharmonian, kedamaian, persaudaraan atau persahabatan masyarakat berbilang bangsa dan agama dinegara yang tercintai ini ?” soalnya.

Petang semalam seorang lelaki menceroboh masuk ke dalam Kuil Sree Muneeswaran Amman, Jalan Hospital di Ipoh, Perak dan merosakkan beberapa patung berhala.