PETALING JAYA: Dalam keghairahan Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau yang pernah menjawat jawatan itu mengakui memiliki 40 ekor kuda.
Menurutnya, beliau tidak membeli kuda tersebut sebaliknya, ia adalah sumbangan daripada Presiden Pakistan ke enam, Muhammad Ziaul Haq.
“Saya banyak kuda, ada 40 ekor kuda. Ramai orang yang beri kuda kepada saya, bukan saya beli.
“Saya nak beli dua ekor kuda dari Pakistan, bila Ziaul Haq dengar saya hendak beli kuda, dia bagi dua ekor. Saya tidak payah beli,” katanya dalam wawancara bersama CNN Indonesia.
Dr Mahathir yang kini menggerakkan Deklarasi Rakyat turut menyatakan bahawa beliau gemar menunggang kuda di waktu lapang selain turut melakukan senaman di ‘treadmil’ serta mengangkat berat.
“Kadang-kadang bila ada waktu senggang, saya menunggang kuda, treadmill, angkat berat sedikit,” ujarnya.
Sebelum ini, Dr Mahathir dengan lantang mempersoalkan wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Bagaimanapun, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengesahkan sumbangan derma yang diterima Perdana Menteri itu datangnya daripada kerajaan Arab Saudi.
Adel Al-Jubeir turut menyatakan pihaknya menyedari sumbangan tersebut diberikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.