Sampai bila kita perlu bayar gaji Najib?

tuan-ibrahim-1MDB

PETALING JAYA: PAS hari ini mempersoalkan adakah rakyat perlu terus membayar gaji Datuk Seri Najib Razak yang dianggap Menteri Kewangan ‘terhebat’ di negara ini.

Ini kerana, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Najib hanya mendiam diri apabila 1MDB diisytiharkan ingkar selepas gagal membayar faedah AS$50.3 juta untuk berbilion-bilion dolar yang dijamin oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC).
,
Tambahnya, Najib juga membisu apabila laporan akhbar Singapura mendedahkan Presiden yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kerajaan terdedah kepada hutang lebih AS$6.481 bilion kepada Abu Dhabi.

“Apakah impak keingkaran ini kepada negara, hutang-hutang negara yang lain dan juga nilai Ringgit dalam jangka panjang dan pendek? – sunyi sepi daripada Menteri Kewangan,” soalnya menerusi kenyataan di Facebook miliknya.

Pesuruhjaya PAS Pahang dalam masa yang sama turut mempersoalkan adakah persengketaaan antara 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) telah menggagalkan pelan rasionalisasi yang dipelopori oleh Arul.

“Arul sebelum ini berkata perjanjian penyelesaian hutang 1MDB dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) akan melihat pengurangan hutang syarikat sehingga RM16 bilion.

“Jadi berapakah hutang 1MDB setelah IPIC tidak mahu meneruskan perjanjian itu? Siapakah dan apakah harta 1MDB (apakah Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange) tanah emas milik negara akan dicairkan untuk membayar hutang 1MDB?

“Siapa yang akan bertanggungjawab? – Menteri Kewangan tidak mengendah,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, hanya ‘kejayaan’ Program Transformasi Negara (NTP) yang diar-warkan tetapi kesannya tidak dapat dirasai rakyat selain kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau dalam masa yang sama turut melontarkan persoalan adakah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu memanggil semula Arul bagi mengetahui pelbagai hutang 1MDB yang masih gagal didedahkan.

“Berapakah jumlah sebenar hutang 1MDB? Kepada saudara Arul, dedahkanlah semua sebelum terlambat. Ini adalah jasa terbesar saudara kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.