Paras air Empangan Timah Tasoh susut dua kali ganda

perlis

PADANG BESAR: Paras air di Empangan Timah Tasoh merekodkan penurunan sebanyak dua kali ganda, iaitu pada kadar 0.04 meter setiap hari sejak dua hari lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Mohamad Nor Hafiz Noor Azmi berkata, selain cuaca panas dan kering akibat El Nino, penyusutan itu juga kerana kadar penggunaan air yang bertambah setiap hari semasa cuti hujung minggu dan cuti umum sempena Hari Pekerja.

“Penyusutan ketara ini juga mungkin kerana kehadiran ramai pelancong ke negeri ini terutamanya di kawasan Padang Besar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Paras air di Empangan Timah Tasoh menyusut 0.04 meter kepada 25.96 meter hari ini berbanding 26.10 meter yang dicatatkan semalam.

Kadar itu adalah di luar daripada kebiasaan kerana sebelum ini paras air susut sekitar 0.01 atau 0.02 meter sahaja setiap hari, katanya sambil meminta orang ramai terus berjimat menggunakan air.

Mohamad Nor Hafiz berkata, bekalan air di empangan itu masih boleh bertahan bagi tempoh sebulan iaitu sehingga akhir Jun jika kemarau masih berlanjutan.

Pengarah Jabatan Meteorologi (MET) Perlis, Muhammad Khalil Ab Aziz ketika dihubungi berkata, suhu semasa di negeri ini setakat 3 petang tadi mencatatkan 37.3 darjah Celcius berbanding 33.5 darjah Celcius semalam.

– BERNAMA