DAP kecewa Putrajaya tangguh isu royalti Sarawak

Chong Chieng Jen

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dukacita dengan tindakan Putrajaya menangguhkan usaha menaikkan peratus royalti minyak untuk Sarawak.

“Pada fikiran saya, perkembangan ini telah mengecewakan semua rakyat Sarawak yang tahu mengenainya.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak mahu akur dengan tuntutan rakyat Sarawak,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas berceramah di Pekan Bau.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata keadaan pada ketika ini tidak mengizinkan royalti minyak untuk Sarawak dinaikkan ke paras 20%.

Ini kerana negara mengalami kerugian kira-kira RM40 bilion dalam bentuk hasil akibat penurunan harga minyak mentah sejagat.

DAP bagaimanapun menepis alasan itu.

“Walaupun pada saat genting ketika ini dimana mereka perlukan undi kita, mereka tetap tidak mahu serahkan kepada kita, apa lagi selepas pilihan raya,” kata Chieng Jen.

Menekankan hujahnya, Chieng Jen berkata usul menaikkan royalti minyak ke paras 20% diluluskan secara sebulat suara dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

“Sekalipun dengan sokongan 100%, kerajaan Persekutuan tidak mahu berganjak dan serahkan royalti minyak itu,” jawab Chieng Jen.

Chieng Jen sempat membidas Ketua Menteri Sarawak, Adenan Saten yang dikatakannya omong kosong.

“Beliau (Adenan) hanya ada janji-janji yang indah untuk membuatkan kamu rasa senang. Tetapi selepas itu kamu masih susah.

“Apa sahaja alasan mengenai harga minyak mentah yang rendah hanya untuk menangguhkan isu,” dakwa beliau.