Ajar murid berkasih sayang, bukan angkat senjata – Wan Ji

Wan Ji Wan Hussin

PETALING JAYA: Guru sekolah tadika tidak sepatutnya mendidik kanak-kanak mengangkat senjata dan menyerang musuh, walaupun ia sekadar lakonan konflik Palestin-Israel.

Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin berkata, cara didikan sebegitu tidak sepatutnya diamalkan kerana bimbang akan mempengaruhi kanak-kanak itu menyertai kumpulan militan bila dewasa nanti.

Lebih membimbangkan, sekiranya kanak-kanak itu mulai membenci orang bukan Islam di Malaysia sepertimana yang berlaku antara rakyat Palestin-Israel.

“Cara itu kurang tepat, sepatutnya guru tersebut membina kesedaran mengenai isu yang berlaku di Palestin berbanding kita ajar budak-budak angkat senjata sebab kalau ajar budak-budak angkat senjata kita takut ia akan wujud sifat benci kepada bukan Islam di Malaysia.

“Bukan Islam di Malaysia cara mereka tidak sama dengan bukan Islam Israel di Palestin. Kita juga takut kesan kepada minda budak-budak itu untuk cenderung kepada keganasan,” katanya kepada FMT.

Wan Ji yang juga Ketua Biro Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR berkata demikian ketika mengulas isu tadika yang terpalit kontroversi, selepas gambar murid berpakaian celoreng dan memegang senjata mainan tersebar di media sosial.

“Sewajarnya kanak-kanak dari kecil perlu diberi kesedaran tentang keamanan, suasana kasih sayang, membina toleransi, menghargai perbezaan agama dan melatih mereka supaya tidak suka sikap zalim yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman enggan menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini, sebaliknya berkata kesan yang akan berlaku kepada kanak-kanak tersebut bergantung kepada cara mereka diajar.

“Sebenarnya bergantung kepada cara kanak-kanak itu diajar, kalau mereka diajar dengan betul maka hasilnya baik, tetapi kalau kanak-kanak itu diajar dengan cara yang tidak betul, maka kesan buruk akan berlaku,” katanya.