10 cedera, dua tren bergesel di Kuala Kubu Bharu

batang kali

PETALING JAYA: Seramai 10 penumpang cedera apabila dua tren milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bertembung di Kuala Kubu Bharu selepas melalui Stesen Komuter Batang Kali, petang ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta api 13 gerabak yang bertolak dari Butterworth, Pulau Pinang menghala Kuala Lumpur dan sebuah kereta api Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) enam gerabak dari ibu negara ke Ipoh, Perak.

Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu dan Puchong dikejarkan ke tempat kejadian, selepas pihaknya menerima panggilan pada jam 1.48 tengah hari tadi.

Ketika kejadian, terdapat 510 penumpang berada dalam kedua-dua kereta api itu.

“Pasukan bomba masih menjalankan kerja menyelamat dan setakat ini kita dimaklumkan kedua-dua kereta api tersebut membawa 510 penumpang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Siti Badariah Wan Hanafi berkata, dua tren itu bergesel di KM322 di Kuala Kubu Baharu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jelasnya, tren Ekspres Rakyat yang dalam perjalanan dari Butterworth ke Johor Bahru dan tren ETS dari Kuala Lumpur ke Ipoh bergesel pada jam 1.45 tengah hari tadi.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan dan beberapa perkhidmatan KTMB turut terjejas ekoran insiden itu.

Menurutnya, perkhidmatan KTM Komuter laluan Rawang-Tanjung Malim terpaksa dibatalkan, sementara semua perkhidmatan ETS tamat di Stesen Rawang dan penumpang meneruskan perjalanan menggunakan bas.

Katanya, perkembangan lanjut berhubung insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.