KTMB ketuai siasatan insiden kemalangan tren

liow

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden kemalangan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran stesen Kuala Kubu Baharu pada Sabtu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pasukan yang diketuai KTMB diharap dapat memberikan laporan insiden itu secepat mungkin di samping mengelak daripada kejadian seperti itu berulang.

“Kementerian memandang serius insiden kemalangan ini. Ia tidak sepatutnya berlaku.

“Melalui siasatan, kita akan tahu sama ada kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu mengikut prosedur atau kegagalan sistem itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA, lapor Bernama.

Dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari yang melibatkan tren Ekspres Rakyat (Butterworth-Johor Baharu) dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) (Kuala Lumpur-Ipoh) bergesel di KM322 itu, tiga penumpang cedera ringan.

Semua penumpang dipindahkan melalui bas perantara yang disediakan untuk menyambung perjalanan masing-masing.

Mengulas lanjut Liow berkata pemandu kereta api terbabit juga telah digantung tugas sementara dan turut berharap insiden itu tidak akan berulang lagi.