‘Jika nak ambil alih, saya kena mula dengan buku baru’

dato-vidaPETALING JAYA: Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, tidak berbaloi untuknya membeli saham Rayani Air dan pada masa sama perlu melangsaikan hutang syarikat itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan Rayani Air supaya menyelesaikan masalah hutang terlebih dahulu, sebelum menjual sahamnya kepada pelabur baru.

“Jika saya nak ambil alih, saya kena mula dengan buku baru, maksudnya syarikat tanpa hutang. Saya tak nak cuci pinggan yang dah kotor.

“Tidak berbaloi jika beli saham tapi pada masa sama perlu jelaskan hutang sedia ada,” katanya yang dipetik mStar Online, semalam.

Pengasas produk Qu Puteh yang lebih dikenali sebagai Dr Vida itu berkata, beliau hanya akan membuat keputusan sama ada mahu melabur dalam syarikat penerbangan patuh syariah pertama di negara ini, selepas berbincang dengan Rayani Air di ibu negara dalam masa terdekat.

“Tarikh pertemuan akan saya maklumkan selepas pulang dari Sabah. Buat masa ini masih di peringkat pertimbangan. Jika tawaran itu membawa faedah kepada kedua-dua pihak, mengapa saya nak tolak,” katanya.

Jutawan kosmetik itu mendedahkan, beliau pernah menyimpan hasrat memiliki syarikat penerbangan sendiri lebih setahun lalu, namun ia tidak berbaloi memandangkan kos membeli pesawat agak mahal.

“Jadi bila pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran sedia melepaskan pegangan sahamnya, saya fikir mahu mengintai peluang. Namun kena tengok dululah apa yang mereka boleh tawarkan,” katanya kepada portal berita itu.

Kelmarin, Dr Vida memberitahu beliau sedang menilai saham Rayani Air dan akan menemui pemiliknya bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan syarikat itu.

Operasi penerbangan Rayani Air digantung selama tiga bulan berkuat kuasa 11 April lalu kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Sebelum ini, Ravi dilaporkan sebagai berkata, beliau sedia melepaskan 51 peratus pegangan sahamnya kepada pelabur baru dengan syarat syarikat itu perlu kekal patuh syariah walaupun selepas bertukar tangan.

Ravi berkata, kekurangan dana antara faktor utama Rayani Air dilanda masalah sehingga berlaku mogok oleh juruterbang dan kakitangan yang mengancam akan menyaman Rayani Air jika tidak membayar tunggakan gaji mereka.