PRK: Kukuh perpaduan, pertahan kerusi Selangor- Noh Omar

noh-omar_umno_sungai-besari_600

SHAH ALAM: Anggota UMNO Selangor perlu memperkukuhkan perpaduan dan mengamalkan budaya saling menghormati demi mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya kecil (PRK) 18 Jun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Noh Omar berkata hanya sikap sedemikian mampu meningkatkan kepercayaan pengundi dan rakyat kepada parti selain merapatkan lagi hubungan sesama anggota.

Katanya, walaupun kini wujud kepincangan dalam pakatan pembangkang, namun anggota UMNO tidak harus alpa sebaliknya terus melipatgandakan usaha untuk membawa kemenangan kepada parti.

“Kita harus mempertingkatkan kekuatan dan perpaduan malah mesti bersama-sama bekerja kuat dalam satu pasukan.

“Walaupun banyak masalah dalaman yang dihadapi pakatan pembangkang boleh dilihat sebagai peluang menang kepada BN (Barisan Nasional), namun anggota dan jentera (parti) tidak sepatutnya ambil mudah atas perkara itu sebaliknya terus berusaha lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berbeza dengan kerajaan negeri Perak yang turut menghadapi PRK Parlimen Kuala Kangsar, Noh tidak menafikan akan wujud pelbagai kekangan kepada jentera BN dalam menghadapi PRK Parlimen Sungai Besar berikutan kerajaan negeri Selangor ketika ini ditadbir pakatan PKR-DAP-PAS.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak termasuk BN dan parti pembangkang mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berwajib bagi melicinkan perjalanan PRK berkenaan.

“Memandangkan PRK pada bulan Ramadan, dan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) sendiri sudah menyatakan bahawa masjid dan surau tidak boleh digunakan untuk berpolitik, maka semua pihak kenalah patuh.

“Walaupun BN di Selangor adalah pembangkang, namun kita akan tetap pastikan kemenangan milik kita dan kita akan berjuang di negeri ini sebagai pembangkang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai bayangan calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen itu, Noh berkata segala maklumat mengenainya hanya akan diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, suami Noriah, Asmuni Abdullah serta tiga yang lain termasuk juruterbang.

SPR dalam mesyuarat khas hari ini memutuskan PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan hari penamaan calon pada 5 Jun, pengundian awal 14 Jun dan hari mengundi pada 18 Jun.

Bernama