PKR 5 kembali ke pangkuan Kerajaan DAP?

PTMP-1

GEORGE TOWN: Setelah hampir enam bulan selepas ‘diceraikan’ oleh pimpinan kerajaan negeri, salah seorang daripada PKR 5 menyuarakan sokongan padu kepada rancangan penambakan laut tahun oleh kerajaan pimpinan DAP.

Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) berkata, beliau dan empat ADUN PKR lain pada mulanya berkecuali daripada mengundi kerana bimbang akan soal ketelusan projek itu.

Namun setelah diberi pertimbangan yang panjang, mereka yang digelarkan sebagai PKR 5 itu akan menyokong apa sahaja usul yang dibawa oleh kerajaan pimpinan DAP, asalkan membawa kebaikan kepada warga Pulau Pinang.

“Kami sentiasa menyokong Pelan Induk Pengangkutan,” jelas Kah Peng, “tetapi dengan syarat lebih rundingan awam, kos yang munasabah, pembangunannya mapan, dan tidak dibuat secara tergesa-gesa dan membebankan kerajaan negeri dari segi kewangan,” katanya dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertua Negeri hari ini.

Ini merupakan kali pertama salah seorang daripada lima Adun itu menyuarakan sokongan kepada kerajaan negeri, selepas pertelagahan antara mereka dan rakan-rakan sepakatan di Dewan Undangan Negeri tahun lalu.

Pertelagahan bermula selepas PKR 5 mengambil sikap berkecuali dalam usul penambakan laut yang dibawa Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) pada hari terakhir sesi perbahasan DUN 27 November lalu.

Tindakan mereka disifatkan sebagai pengkhianatan oleh kerajaan pimpinan DAP, dan ekoran itu, Kah Peng dan Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah) dipecat daripada jawatan pengarah di syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Selain mereka, tiga ADUN PKR yang lain adalah Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Dr T Jayabalan (PKR-Batu Uban) dan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk).

Cheah menambah, PKR 5 menyambut baik tindakan menggunakan juruaudit luar bagi menilai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang memakan kos RM27 bilion dan menyifatkannya sebagai ‘langkah ke arah yang betul’.

Berhubung soal itu, Exco Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota) bangun dan mengatakan juruaudit luar sememangnya sudah dilantik sejak dari awal.

Timbalan Speaker, Datuk Maktar kemudiannya menangguhkan sesi perbahasan pada pukul 6.30 petang. Cheah akan menyambung perbahasan selepas sesi diteruskan pukul lapan malam nanti.

Related story:

PKR 5 ‘must’ reject reclamation motion