Khairuddin nafi terbit buku ’50 Dalil’

khairuudin-anwar

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menafikan pembabitannya dalam penerbitan buku ’50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM’ 18 tahun lalu.

“Sejak 1998 sehingga sekarang, Anwar tidak pernah ambil tindakan ke atas saya. Ambil buku itu tengoklah siapa penulis, penerbitnya?” soal Khairuddin sebagai menolak dakwaan ahli panel Forum ‘Deklarasi: Mana Pergi Rakyat’, Badrul Hisham Shaharin yang berlangsung semalam.

Bercakap kepada wartawan selepas forum lebih dua jam itu selesai, Khairuddin sekali lagi membuat penafian dan menyifatkan dirinya kurang bernasib baik kerana dilihat sebagai ‘budak suruhan’ bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bukan penulis (atau) penerbit buku ’50 Dalil’. Itu adalah persepsi. Pada tahun 1998 Tun tidak kenal saya dan saya pernah bersumpah junjung al-Quran bahawa jika Mahathir suruh saya buat buku itu untuk tumbangkan Anwar, saya terkeluar daripada akidah Islam,” katanya lagi.

Khairuddin sebelum ini sekadar menafikan diminta Dr Mahathir berbuat demikian, tetapi tidak menolak beliau adalah penerbit buku kontroversi itu yang dianggap sebagai permulaan terhadap penyingkiran Anwar daripada kerajaan dan UMNO.

Terdahulu, Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, banyak media yang melaporkan Khairuddin terbabit dalam penerbitan buku itu.

“Banyak media (yang melaporkannya) dan saya boleh tunjukkan. Saya minta maaf kalau cakap kamu tulis, tetapi kamu terlibat (dalam penerbitannya),” katanya.

Sinar Harian pada 27 Disember lalu memetik Khairuddin sebagai mengakui pernah menerbitkan buku itu tetapi bukan atas arahan Dr Mahathir.

“Apa kita cakap tentang Anwar dia tak mahu percaya. Sebab Tun Mahathir tak mahu percaya, atas dasar inilah saya terbitkan buku itu. Bukan disuruh Tun Mahathir,” katanya yang dilaporkan akhbar itu tahun lalu.

Khairuddin juga sekali lagi menyokong usaha pembebasan Anwar dan berikrar menjadi pemimpin UMNO pertama yang memperjuangkannya.

Sementara itu, Khairuddin menepis dakwaan kononnya hanya segolongan kecil individu terbabit dalam merangka Deklarasi Rakyat.

Sebaliknya beliau menjelaskan, pelbagai pihak dipanggil untuk memberi pandangan dan membuat pindaan terhadap draf terakhir Deklarasi Rakyat sebelum kempen itu bermula.

Mereka yang berpendapat Deklarasi Rakyat tidak menyeluruh dan memiliki kelemahan boleh menyuarakan saranan masing-masing kepada beliau untuk diserahkan kepada Dr Mahathir.

“Ini bukan gerak kerja Tun Mahathir Mohamad, saya bukan nak bela beliau tapi hanya bercakap perkara yang benar. Kalau ada cadangan, nyatakan dan saya akan sampaikan kepada beliau,” tambahnya.