KUALA LUMPUR: Hanya kerajaan yang boleh memutuskan sama ada Laporan Audit 1MDB yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), perlu diubah status kerahsiaannya atau tidak.
Ketika menegaskannya hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin berkata laporan audit berkenaan adalah berbeza dengan Laporan Audit Negara yang dikeluarkan setiap tahun serta perlu dibentangkan di Parlimen.
Katanya, Laporan Audit 1MDB sebaliknya hanya perlu dibentangkan kepada PAC selepas proses perumusan berkaitan itu selesai.
“Kabinet minta Jabatan Audit Negara untuk membuat laporan (1MDB) dan kemudian dibentangkan kepada PAC. Soal sama ada bila ia nak diklasifikasikan, terpulanglah kepada kerajaan untuk menentukannya,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan segelintir pihak yang mahukan status kerahsiaan Laporan Audit 1MDB di bawah OSA itu dibatalkan.
Sebelum ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata laporan audit berkenaan masih diklasifikasikan mengikut OSA sekalipun selepas pembentangan laporan siasatan PAC mengenai syarikat pelaburan strategik berkenaan.
Hasan yang memetik laporan terdahulu berkata apa juga maklumat yang diterima pada saat-saat akhir untuk Laporan Audit 1MDB yang bersifat sulit, rahsia serta berstatus risikan dan bukan untuk laporan awam, maka ia tidak perlu dimasukkan ke dalam laporan PAC.
Selain itu, mengulas Laporan Ketua Audit Siri 1 2015 yang diumumkan hari ini, beliau berkata PAC akan memanggil Jabatan Imigresen dan Jabatan Air Negeri Sabah serta Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi tujuan prosiding susulan laporan berkenaan.
“Kita akan panggil (pihak berkaitan) secepat mungkin antaranya berkaitan isu Pengurusan Pembinaan dan Pembaikan Rumah Mangsa Banjir, Program Bekalan Air Luar Bandar Sabah dan Pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMS),” katanya.
Menurutnya, biarpun secara puratanya semua jabatan terbabit menunjukkan prestasi yang baik namun prosiding itu bertujuan menjamin kepentingan serta kesannya kepada rakyat secara keseluruhannya.
Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri 2015 dibentangkan secara bersiri sebanyak dua kali pada tahun ini.
Laporan Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Ia selaras langkah Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi setiap tahun yang bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan dirancang, dilaksana dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program/aktiviti dan projek itu tercapai.
– BERNAMA