Siti Hasmah wanita paling disanjungi rakyat

hasmahPETALING JAYA: Isteri bekas perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dipilih sebagai wanita paling disanjungi di Malaysia.

Ia adalah hasil tinjauan pendapat “Lelaki dan wanita paling disanjungi di seluruh dunia 2016” yang dijalankan sebuah firma penyelidikan pasaran berpangkalan di United Kingdom, YouGov.

Menurut China Press, tinjauan pendapat YouGov itu membabitkan 31,000 responden daripada 30 negara.

Lelaki dan wanita yang paling disanjungi di seluruh dunia ialah pengasas Microsoft, Bill Gates dan pelakon terkenal, Angelina Jolie.

Ia diikuti Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama; Presiden China, Xi Jinping dan pelakon Hong Kong, Jackie Chan yang menduduki tangga kedua hingga keempat.

Ratu Elizabeth II pula menjadi tokoh wanita kedua yang paling disanjungi masyarakat dunia, diikuti calon Presiden Demokrat Amerika 2016, Hillary Clinton dan jutawan merangkap pengacara televisyen terkenal, Oprah Winfrey.

Bagi kategori wanita paling disanjungi di Malaysia pula, Siti Hasmah menewaskan Angelina dengan 13.8%, diikuti penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza dan ikon demokrasi yang juga Menteri Luar Myanmar, Aung San Suu Kyi masing-masing di tangga ketiga dan keempat.

Bagaimanapun, tiada tokoh lelaki yang terpilih untuk kategori lelaki paling disanjungi di Malaysia.