Teknologi baru ‘hidu’ tandas busuk

toilet

PETALING JAYA: Semua tandas awam di Singapura dilengkapi satu sistem pemantauan khas yang akan memaklumkan tukang cuci bila pembersihkan perlu dijalankan.

Menurut laporan The Straits Times, jurutera penyelidikan dari Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) berjaya mencipta teknologi yang diberi nama Restroom Visitilizer System pada 2013.

Ujian percubaan telah dijalankan di lebih 60 tandas awam di seluruh republik itu sejak dua tahun lalu, termasuk di Marina Bay Sands, Zoo Singapura, River Safari serta 9 pusat penjaja seperti di Tiong Bahru, Maxwell dan Taman Serangoon.

Sistem yang dilengkapi sensor itu boleh mengesan kekerapan sebuah tandas itu digunakan dengan mengukur tahap bau busuk seperti amonia yang terdapat dalam air kencing serta hidrogen sulfida yang ditemui dalam najis.

Peringatan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) akan dihantar ke telefon bimbit tukang cuci atau penyelia jika ada tandas tertentu yang perlu dibersihkan segera.

Pengurus Pembangunan Industri dari Institut Penyelidikan Infocomm A*Star, Dennis Quek berkata, tandas awam biasanya dibersihkan secara tetap beberapa kali sehari, tidak kira berapa kerap ia digunakan dan sesetengah syarikat pembersihan hanya bertindak atas aduan, kebanyakannya mengenai bau busuk.

Kekerapan penggunaan tandas di pusat beli-belah boleh mencecah 300 orang setiap jam, manakala di pusat penjaja pula kira-kira 100 hingga 150 orang menggunakan tandas awam setiap jam.

Katanya, teknologi itu menawarkan pilihan “permintaan membersih” yang akan membolehkan penyelia membahagikan tenaga kerja dengan lebih berkesan, di mana hasil ujian percubaan menunjukkan produktiviti sumber tenaga kerja meningkat 30%.

Ini bermakna seorang tukang cuci boleh membersihkan lebih banyak tandas dan mereka tidak perlu lagi sentiasa memeriksa keadaan tandas.

Syarikat perusahaan kecil dan sederhana, Convergent Smart Techonologies telah dilantik sebagai wakil sah pengedar sistem itu yang dijual pada harga RM5,100 hingga RM6,000 setiap set.