PETALING JAYA: Datuk Ahmad Maslan menyatakan tindakan 50 cawangan UMNO di Kedah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mewakili parti itu secara keseluruhan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu menjelaskan, UMNO mempunyai lebih 22,000 cawangan di seluruh negara dan 50 cawangan yang mengemukakan usul undi tak percaya terbabit itu hanya mewakili 0.22 peratus sahaja.
“Cawangan UMNO di Malaysia tak silap saya lebih 22,000. Kita memandang setiap perkara itu dengan serius sama ada kecil atau besar, tetapi angka itu (50 cawangan) tidak signifikan dan amat kecil,” katanya lapor BH Online.
Baru-baru ini, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa lebih 50 cawangan UMNO Kedah membuat usul undi tidak percaya terhadap Najib sekali gus menuntut pengundurannya sebagai presiden parti Melayu itu dan perdana menteri.
Mukhriz yang juga ADUN Ayer Hitam menerusi Facebooknya turut mendakwa UMNO cawangan terbabit turut mengusulkan supaya pemilihan parti UMNO tidak ditangguh dan dilaksana tahun ini.