Dr Mahathir akan dipanggil polis siasat dakwaan tahanan rumah

noor-rashid-mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad akan dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung dakwaannya bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dikenakan tahanan rumah.

Siasatan itu akan dibuat selepas pihak polis menerima beberapa laporan berhubung kenyataannya itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan akan mengenal pasti kesahihan isu yang diketengah dalam blog dan portal berita.

“Oleh itu kami perlu menyiasat Dr Mahathir untuk keterangan lanjut. Tetapi masa dan waktu belum ditetapkan. Ia akan ditentukan ikut kesesuaian,” katanya.

Menurut laporan Berita Harian Online, antara pihak yang membuat laporan polis itu ialah Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Kata Abdul Aziz, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kerana dakwaan bekas perdana menteri itu adalah palsu dan bersifat jahat serta keterlaluan.

Dr Mahathir didakwa berkata demikian bertujuan menghalang Yang di-Pertuan Agong menerima tandatangan 1.4 juta rakyat untuk Deklarasi Rakyat, yang diusahakannya dengan kerjasama beberapa parti pembangkang.