Usul Hadi perlu dibahas, dibincang dengan mendalam – ABIM

Mohamad-Raimi_abim_hudud_law_6001

PETALING JAYA : Usul pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 perlu dibincang dan dibahaskan secara mendalam serta terbuka pada sesi persidangan Parlimen akan datang.

Presiden ABIM Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, pihaknya turut menuntut sesi perbincangan secara telus dan berkesan diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk dalam kalangan part politik, organisasi masyarakat sivil termasuk di kalangan bukan Islam.

“Ini kerana ABIM berpandangan isu perundangan Islam adalah milik seluruh umat Islam dan bukan milik eksklusif mana-mana pihak sebagai agenda untuk memenuhi kepentingan politik kepartian yang bersifat bermusim.

“Yang jelas, perkembangan ini pastinya akan memberi kesan besar merentasi kaum dan agama di Malaysia memandangkan proses ini bakal berdepan pelbagai prosedur perundangan dan kerumitan teknikal perundangan yang hingga kini masih samar dan belum dijelaskan sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Raimi berkata cita-cita pelaksanaan perundangan Islam itu harus diselarikan dengan prinsip Maqasid Syariah dengan memastikan tujuannya menepati maksud sebenar perlaksanaannya iaitu menjamin keadilan kepada umat manusia.

Beliau pada masa yang sama turut memberikan peringatan kepada semua pihak jika isu terbabit gagal ditangani secara serius dengan persediaan dan penjelasan yang rapi serta bersifat bermusim mengikut selera politik kepartian, ia akan menimbulkan pelbagai reaksi negatif, tohmahan dan salah faham terhadap Islam.