PETALING JAYA: Larangan keluar rumah bagi perempuan yang masih dalam tempoh iddah itu tidak bersifat mutlak.
Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama Pemuda PKR Wan Ji Wan Hussin berkata larangan keluar rumah itu dibuat bagi mengelakkan perempuan yang masih dalam iddah mengahwini mana-mana lelaki.
“Larangan hadis memakai pakaian berwarna, keluar rumah dan lain-lain bagi perempuan beriddah hanya dalam konteks dibimbangkan boleh membawa kepada pernikahan.
“Jika tidak membawa kepada pernikahan, ia tidak termasuk di bawah larangan hadis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Wan Ji berkata demikian sebagai respons terhadap strategi kempen BN yang akan berkempen tanpa calon pada PRK Kuala Kangsar.
Ia dilakukan susulan calon BN di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, kini masih dalam tempoh iddah selepas suaminya allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad maut dalam nahas helikopter di Sarawak.
Wan Ji berkata pandangan ulama muda UMNO Fathul Bari Mat Jahya bahawa Mastura tidak boleh keluar berkempen kerana masih dalam tempoh iddah adalah pandangan selamat.
“Saya secara peribadi, menganggap pandangan Dr Fathul Bari itu adalah pandangan yang selamat untuk diamalkan. Terutama, pandangan ini lebih banyak diamalkan dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.