PETALING JAYA: Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dan menolak Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 tidak boleh dituduh sebagai kafir, murtad, munafik dan sesat.
Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wan Ji Wan Hussin menjelaskan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak membentangkan hukum syariah sebaliknya hanya memohon keizinan untuk meminda salah satu akta dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun ada tanggapan mengatakan bahawa pindaan tersebut membolehkan pelaksanaan enakmen hudud Kelantan, ia tetap tidak boleh dituduh kafir, murtad, sesat dan munafik.
“Hal ini kerana enakmen itu sendiri dipenuhi dengan pandangan ulama-ulama PAS, bukan sepenuhnya syariah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, sifat syariah tidak boleh diubah dan dipinda kerana ia hak mutlak Allah, namun enakmen hudud Kelantan itu adalah pindaan dari 1993 kepada 2015.
“Pindaan berlaku pada enakmen kerana ulama-ulama PAS sendiri sedar ia bukan syariah tetapi pandangan-pandangan mereka. Jika mereka anggap enakmen itu adalah syariah, sudah pasti mereka tidak akan pinda,” kata beliau lagi.
Jelasnya, jika ada pihak menganggap mereka yang menolak enakmen itu sebagai seorang yang murtad, sudah pasti ulama-ulama PAS yang meminda RUU itu lebih murtad.
Khamis lalu, RUU yang dibawakan Hadi itu diusulkan supaya dipercepatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Tindakan itu menyebabkan pemimpin parti komponen bukan Islam dalam BN mengugut akan meletak jawatan dalam Kabinet jika usul itu diluluskan Dewan Rakyat pada Oktober nanti.
Antara pemimpin yang membantah adalah Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong.