Jangan terlalu obses dengan label ‘Islam’ – pendakwah bebas

Wan-Ji-Wan-Hussin_muslim_600

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin menggesa orang Islam supaya tidak terlalu obses dengan label ‘Islam atau ‘tidak Islam’ ketika melihat sesuatu perkara, sebaliknya mereka perlu melihat kepada kebaikan secara keseluruhan.

Mengambil contoh sistem di Barat, beliau berkata kebanyakan negara Barat lebih maju dalam aspek pentadbiran dan keamanan berbanding negara-negara majoriti Muslim.

“Barat tidak pakai nama Islam tetapi menjamin kebebasan, keamanan dan pentadbiran yang baik. Malah di sana Islam lebih cepat berkembang. Kebanyakan negara yang berada dalam kedudukan tertinggi indeks rasuah pula adalah negara yang majoritinya umat Islam.

“Apabila kita menggunakan nama Islam, timbul pula isu siapa lebih Islam (antara dua pihak yang bersaing). Masa banyak dihabiskan untuk berbalah tentang itu, bukan tentang memberi kebaikan kepada masyarakat,” katanya dalam forum ‘Bedah Buku: Generasi Kedua Politikal Islam’ semalam.

Tinggalkan kerangka gerakan Islam

Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama Angkatan Muda Keadilan itu turut menasihatkan orang Islam, khususnya aktivis politik Islam agar meninggalkan kerangka gerakan Islam yang baginya telah terbukti gagal.

Wan Ji memberi contoh pemimpin Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi yang gagal menangani keadaan politik di Mesir ketika menjadi presiden negara itu sehingga timbul bantahan daripada rakyat dan akhirnya digulingkan pasukan tentera pada 2013.

“Tidak salah untuk merujuk (tokoh gerakan Islam) Sayyid Qutb dan Hassan al-Banna, tetapi tidak perlu sampai terikat. Sedangkan kita boleh gabungkan kebaikan dari Barat dan juga gerakan Islam,” katanya.

Penulis buku ‘Generasi Kedua Politikal Islam’, Dr Zulkifli Hasan pula mengambil pendekatan lebih sederhana dengan menyarankan gerakan Islam membuat perubahan seiring peredaran zaman.

Beliau mengambil contoh kenyataan pemimpin Parti Ennahda dan tokoh gerakan Islam, Rached Ghannouchi yang beralih daripada label ‘Islamis’ kepada ‘Demokrat Muslim’.

Menurut laporan portal berita, Middle East Eye pada 19 Mei lalu, parti yang pernah membentuk kerajaan selepas Revolusi Tunisia pada 2011 itu akan memisahkan kegiatan politik dan agama, antaranya agar Islam tidak lagi dikaitkan dengan sebarang kesilapan yang mungkin terjadi.

“Kami meninggalkan Islam politik dan memasuki Islam demokratik. Kami adalah demokrat Muslim yang tidak lagi mendakwa mewakili Islam politik,” kata Rached yang dipetik portal berita itu.

“Ghannouchi melihat dinamika politik Islam di Timur Tengah. Jangan sampai kelemahan kita dan gerakan memberikan implikasi buruk terhadap agama,” kata pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu.

Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad pula mengakui era ini memberi cabaran besar kepada Islam, namun menolak pandangan Wan Ji bahawa gerakan Islam tidak lagi relevan.

“Era pasca-Islamisme kemuka cabaran besar kepada Islam. Tentulah malang jika suatu hari nanti agama sudah tiada lagi peranan dalam pentadbiran dan hal-hal awam dan hanya tinggal dalam ruang peribadi,” katanya lagi.

Tambahnya, apa yang perlu dilakukan adalah menerima kepelbagaian pemahaman dalam Islam dan tidak tersekat dalam satu pemahaman sahaja seperti sekarang.