PAS kesal ditohmah restui kezaliman UMNO – Nik Abduh

Nik-Mohamad-Abduh_pas_umno_600

KOTA BHARU: Pemuda PAS berasa kesal dengan tohmahan kononnya parti Islam itu merestui ‘kezaliman’ UMNO dan mahu bergabung dengan parti Melayu itu.

Menggayakan baju melayu warna putih yang dipadankan dengan jaket hitam tanpa lengan, sampin dan tengkolok hijau, serta berkeris, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tampil menjelaskan konsep bekerjasama untuk mencapai kebaikan yang telah diulangi parti itu berulang kali.

“Saya ingin menegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS merestui kezaliman UMNO malah mahu bergabung dengan UMNO-BN, adalah fitnah yang tidak berasas.

“PAS konsisten menentang kezaliman yang berlaku dalam negara,” tegas ketua sayap pemuda PAS itu, “buktinya PAS menyokong usaha kerajaan memartabatkan Mahkamah Syariah, tetapi PAS tidak bersetuju dan mengemukakan cadangan balas terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), program dwibahasa (DLP) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).”

Penentangan terhadap beberapa perkara yang disebutkan Nik Abduh itu, jika tidak kesemuanya, turut dikongsi oleh gerakan pembangkang lain.

“Inilah konsep ta’awun siyasi yang dilaksanakan PAS,” kata Nik Abduh, “Perkara yang benar akan disokong, perkara yang salah akan ditentang.”

Beliau berkata demikian dalam ucaptama bersempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-57 yang berlangsung di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) hari ini.

Dalam ucapan yang sama Nik Abduh menjelaskan PAS berharap pembentukan blok ketiga pembangkang bersama Parti Ikatan Rakyat Malaysia (IKATAN) akan dapat memecahkan dominasi politik negara oleh perkumpulan politik tertentu.

“Blok ketiga berperanan besar untuk menamatkan kebergantungan rakyat kepada satu pihak sehingga menjadikan pihak tersebut angkuh dengan dominasi mereka,” katanya.

Maka atas sebab itu juga, PAS mengambil sikap berwaspada akan gerakan Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Prinsip PAS bahawa setiap perubahan perlulah bersifat institusional dan menyeluruh bukan sekadar menjatuhkan individu tertentu,”katanya.