Tragedi cuti sekolah, anak maut di kolam renang

zanuddin-ahmad

PORT DICKSON: Percutian keluarga yang menggembirakan bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan ditemui mati di lantai kolam renang dewasa di sebuah hotel di Telok Kemang di sini petang semalam.

Mangsa, Mohamad Ashrad Hakim Aziezi yang bercuti di hotel itu bersama keluarganya, ditemui di dasar kolam renang dewasa hotel oleh orang awam yang turut berada di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superitendan Zainudin Ahmad berkata kepada Sinar Harian, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa mandi di kolam renang kanak-kanak bersama sepupunya sementara ahli keluarga yang dewasa termasuk ayahnya mandi di kolam dewasa.

“Tetapi kanak-kanak itu disedari hilang oleh ayahnya dan ketika mencari ada pengunjung lain yang melihat mangsa berada di dasar kolam renang dewasa,” katanya.

Kanak-kanak itu bersama rombongan lima keluarga datang dari Tanjung Malim, Perak menginap di hotel berkenaan.

Zainuddin berkata mangsa dikejarkan ke hospital dengan bantuan pihak hotel, tetapi disahkan meninggal dunia doktor sebaik pemeriksaan diberikan di hospital dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas.