‘Kelentit Rindu’ hanya nama sebaran mulut ke mulut

ahya

PETALING JAYA: Pelakon Ahya Rosli menjelaskan nama ‘Kelentit Rindu’ bukanlah nama rasmi bagi kedai shisha miliknya, sebaliknya nama panggilan yang tersebar dari mulut ke mulut.

Dalam satu posting di laman Facebooknya semalam, jejaka berusia 29 tahun itu berkata bahawa nama rasmi kedainya yang beroperasi di Jalan Genting Klang, Setapak itu adalah ‘Al-Ahya Shisha’.

“Datang lepak hisap shisha di sini, kau tengok ada tulis Kelentit Rindu besar-besar? Tak pernah ada pun. (Nama) itu hanya (tersebar) dari mulut ke mulut dan tak pernah ‘publish’.

“Kerja nak jatuhkan orang sahaja. Kau tak kenal aku pun, tiba-tiba nak kutuk-kutuk. Lain kali tanya dulu elok-elok,” kata anak kepada pelakon terkenal Normah Damanhuri itu lagi.

Kedai shisha miliknya itu baru-baru ini mendapat perhatian di internet ekoran namanya yang berunsur lucah.

Menurut laporan mStar semalam, Ahya berkata nama ‘Kelentit Rindu’ telah digunakan sejak sepuluh tahun lalu dan diambil sempena nama sejenis spesies cendawan yang dipanggil Kelentit Kering, atau nama saintifiknya ‘Microparus Xanthopus’.

Katanya lagi, nama tersebut digunakan selepas mendapati ia merupakan salah satu perasa shisha paling popular di kedainya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memaklumkan telah membuat pemeriksaan di premis itu hari ini dan mendapati tiada perkataan yang tidak sesuai dipamerkan di sana.

“Pemilik kedai memberitahu bahawa perniagaan shisha hanya dijalankan pada waktu malam dan pelakon terbabit adalah rakan pemilik.

“Perkataan ‘kelentit rindu’ tidak berkaitan langsung dengan premis tersebut dan digunakan sebagai ‘hashtag’ di media sosial,” kata DBKL lagi.