Mana silapnya polarisasi kaum Malaysia makin menebal?

rakyat_malaysia_6001Apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mengutarakan cadangan supaya subjek silang budaya diperkenalkan di peringkat awal persekolahan, ada yang tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan silang budaya.

Berdasarkan pemahaman ringkas, silang budaya merujuk kepada proses mempelajari budaya kaum lain yang bukan daripada kaum itu sendiri.

Jadi mengapa subjek silang budaya perlu diperkenalkan kepada anak-anak kita? Tidak cukupkah subjek di sekolah yang membolehkan mereka mempelajari mengenai kaum lain sama ada Melayu, Cina, India atau kaum lain di Sabah serta Sarawak.

Sebenarnya, cadangan Zahid itu merujuk kepada indeks perpaduan antara kaum di negara ini semakin menebal dan amat menggusarkan, ditambah pula dengan ledakan media sosial yang jelas memperlihatkan sikap sebenar rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Polarisasi kaum di negara ini sebenarnya tidak menunjukkan sebarang petanda yang membawa semua kaum di negara ini menerima sepenuhnya kaum lain dengan masing-masing akan cuba mempertahankan hak kaum mereka.

Aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye secara terbuka menyatakan polarisasi antara kaum di negara ini semakin membimbangkan. Menurutnya, ‘penghuni’ sekolah sama ada murid atau guru lebih selesa bercampur dengan kaum mereka sendiri dan ia jelas membuktikan jurang antara kaum semakin menebal.

Polarisasi yang berlaku ini sesuatu yang amat genting, ia boleh diibaratkan sebagai ‘api dalam sekam’ yang membakar secara perlahan perpaduan antara kaum di negara ini yang menjadi teras kepada kemajuan serta kestabilan Malaysia.

Lihat saja bagaimana wujudnya pelbagai NGO yang bagai ‘cendawan selepas hujan’ memperjuangkan nasib sesuatu kaum secara terbuka.

Lebih menyedihkan ada kalanya, NGO ini bersuara dengan tujuan mempertahankan kaum mereka tetapi bertindak memperlekeh kaum lain.

Tahun depan genap 60 tahun kemerdekaan negara ini, tetapi malangnya kita terus menoleh ke belakang untuk mencari formula terbaik bagi menyatupadukan rakyat Malaysia.

Sememangnya, diversiti etnik, agama, budaya di negara ini yang menjadikan Malaysia begitu unik, tambahan pula semua kaum boleh hidup aman damai tanpa sebarang masalah pergaduhan antara kaum yang boleh dilihat berlaku di negara lain.

Namun jangan sesekali kita lupa, jika perpaduan ini tidak dipupuk dan jurangnya dikecilkan, ia boleh runtuh pada masa depan.

Jika rakyat negara ini tidak kira sama ada pemimpin politik atau rakyat Malaysia, tidak jujur dengan diri sendiri bagi mencari punca sebenar mengapa polarisasi kaum di negara ini semakin menebal, mereka sudah pasti menuding jari kepada sistem persekolahan dan parti yang ada dalam negara.

Inilah dua punca kepada penyakit mengapa polarisasi kaum terus menebal.

Sistem persekolahan negara ini yang mempunyai dua aliran, mungkin hanya ada satu negara saja di dunia ini yang mengamalkannya.

Ditambah pula dengan parti politik yang terus memainkan isu perkauman bagi menarik sokongan rakyat bagi membolehkan ia terus berada di puncak kekuasaan.

Jadi, tepuk dada tanya diri sendiri, di mana silapnya apabila polarisasi kaum di Malaysia terus menebal.

Yang pasti, kesalahan boleh diletakkan pada pemimpin politik yang tidak mempunyai semangat politik bagi mencari jawapannya.

Tiada seorang pemimpin politik ketika ini, seperti Dato Onn Jaafar yang sanggup keluar parti yang diasaskan hanya semata-mata mempertahankan prinsipnya yang mahu parti itu dibuka kepada semua kaum.