Pencabul kanak-kanak mahu kahwini mangsa

richard-huckle_kids_law_600

PETALING JAYA: Pedofilia British Richard Huckle mahu “mengahwini” salah seorang kanak-kanak yang dicabulnya dan menubuhkan pusat jagaan anak angkat, supaya dia akan mempunyai banyak kanak-kanak di bawah jagaannya untuk dicabul, lapor akhbar UK, Daily Mail.

Ini adalah antara butiran buruk yang terbongkar ketika perbicaraan Richard, 30, berlangsung.

Richard membuat posting di laman web pedofilia, di mana dia berkongsi gambar dan video:”Cita-cita saya bila berkahwin, keluarga kita akan jadi seperti penjaga angkat kepada kanak-kanak, buat sementara waktu atau jangka panjang..saya suka kanak-kanak sentiasa ada keluar masuk di rumah saya.”

Ibu bapa Richard juga meminta polis mengambilnya ketika dia berada di rumah mereka di Ashform, Kent di bawah syarat ikat jamin yang ketat, sebelum dia didakwa di mahkamah atas jenayah ngerinya itu.

Dia mengaku kepada ibunya, Christina dia melakukan aktiviti seksual dengan kanak-kanak seawal umur tiga hingga 13 tahun, yang menyebabkan ibunya sangat kecewa dan marah.

Richard ditangkap mempunyai lebih 20,000 gambar kanak-kanak mangsa jenayah seksual tetapi diberikan ikat jamin sementara polis membongkar serangan seksnya terhadap kira-kira 200 kanak-kanak.

Dia mengaku terhadap 71 daripada 91 tuduhan yang dikenakan terhadapnya iaitu mencabul 23 kanak-kanak perempuan dan lelaki, antara 2006 hingga 2014, di mana dia menyamar sebagai guru bahasa Inggeris dan dermawan Kristian.

Daripada 23 mangsa itu, 22 ialah kanak-kanak Malaysia daripada masyarakat miskin Kristian. Dia memuat naik gambar dan video jenayahnya ke laman web gelap – versi rahsia untuk Internet yang biasanya digunakan bagi aktiviti haram.

Dia akhirnya ditahan pada Disember 2014 di lapangan terbang Gatwick di UK. Dia berdepan hukuman penjara 22 tahun.

Sementara itu, Malay Mail Online melaporkan seorang paderi di gereja di Petaling Jaya menafikan Richard mencabul mana-mana kanak-kanak dalam jemaahnya.

Paderi Kanan Paul Packianathan daripada Community of Praise Gereja Petaling Jaya di Taman Medan, mengakui Richard melawat gereja itu beberapa kali tetapi menafikan ada berlakunya kejadian cabul.

“Kanak-kanak yang menjadi mangsa dia bukan dari gereja kami, atau masyarakat di sekitar gereja kami. Dia hanya datang sesekali sebagai jemaah gereja,” katanya dipetik sebagai berkata.

Pakianathan berkata beliau juga “memarahi” Richard beberapa kali kerana “lama menghilang”.

Beliau enggan mengulas panjang mengenainya.