Penumpang Malaysia Airlines London-KL cedera selepas gegaran

MH1-Air

Beberapa penumpang dan anak kapal cedera ringan apabila pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH01 dalam penerbangan dari London menuju ke Kuala Lumpur mengalami gegaran udara yang teruk ketika berada di ruang udara Teluk Bengal, semalam.

Pesawat Airbus A380 itu, bagaimanapun, selamat mendarat bersama 378 penumpang dan anak kapal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada pukul 6 petang.

Menurut kenyataan MAB, sejumlah kecil penumpang dan anak kapal yang cedera diberi rawatan oleh pegawai perubatan sebaik pesawat itu mendarat di KLIA.

“Semasa melalui ruang udara Teluk Bengal, isyarat lampu tali pinggang keselamatan dinyalakan ekoran gegaran udara. Susulan gegaran udara buat seketika beberapa penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Kenyataan itu menyebut MAB membantu kesemua penumpang dan anak kapal dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang disebabkan keadaan cuaca yang di luar kawalan syarikat itu.

Seorang pegawai MAB, yang enggan mendedahkan jumlah penumpang dan anak kapal yang cedera, berkata syarikat itu akan mengeluarkan kenyataan dari masa ke semasa mengenai perkembangan insiden itu.

Beberapa mesej Whatsapp menjadi viral mengenai kejadian itu dengan satu daripadanya mendakwa empat penumpang dan enam anak kapal cedera, manakala mesej lain menyatakan jumlah keseluruhan 34 orang mengalami kecederaan.

Sementara itu, kira-kira tujuh imej yang dikongsi di Facebook dan Whatsapp, menunjukkan troli makanan bertaburan di lantai dan laluan manakala unit ruang menyimpan barangan kecil kelihatan retak.

Penumpang Singapura berusia dalam lingkungan 50-an yang hanya mahu dikenali sebagai Mary, berkata gegaran udara itu berlaku kira-kira lima minit dalam masa tiga jam sebelum pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

“Saya duduk di bahagian dek atas. Pesawat itu seakan-akan terhentak ke bawah sebelum melambung semula ke atas. Ketika itu, anak kapal hendak mengedarkan makanan kepada penumpang… saya lihat bungkusan makanan bertaburan daripada troli makanan.

“Saya juga nampak seorang pramugari terhantuk kepalanya sebelum terjatuh dan luka di lutut,” katanya sambil memberitahu juruterbang turut membuat pengumuman meminta semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan semasa insiden itu.