Nazir kecewa hukuman ringan, gesa banduan lain ‘urus’ Huckle

nazir razak

PETALING JAYA: Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak hari ini melahirkan rasa kecewa dengan keputusan mahkamah Britain menjatuhkan apa yang dianggapnya hukuman terlalu ringan terhadap pedofil Richard Huckle, dan menyeru banduan lain “memberikan balasan setimpal”.

“Adakah hukuman ini memadai??? Dia mendera kanak-kanak berusia antara 6 bulan dan 12 tahun, menyimpan sebuah dairi aktivitinya, dan memuat naik gambar dan video,” kata Nazir mengenai Huckle, yang dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup secara serentak dan bakal menjalani tempoh minimum 23 tahun, atas 71 pertuduhan salah laku seksual melibatkan kanak-kanak.

“Saya menyeru rakan banduannya yang lain memberikan balasan lebih setimpal,” tambahnya.

Pengguna media sosial menyokong seruan Nazir yang tersirat ke arah kekerasan itu, walaupun ada yang mengkritik dan mahu masalah pedofilia ditangani.

“Mau kena rejam sampai mati je” merupakan antara reaksi pengguna Instagram di samping mencadangkan pelbagai cara menyiksa Huckle.

“Apa kata kita ‘jolok’ dia dan kemudian rakam aksi itu dan tulis dalam diari? Buat dia rasa apa yang dia buat,” tulis pengguna joha_joho.

Seorang lagi, raillealis, menentang sebarang gesaan untuk bertindak di luar batas undang-undang.

Ada juga yang melahirkan kebimbangan kerana jenayah Huckle hanya disedari kerajaan UK walaupun ia dilakukan di Malaysia.

Pengguna peggz._ berkata sudah tiba masa Malaysia menangani masalah pedofilia tempatan.