Tidak kira siasat siapa, SPRM tetap dimaki rakyat – Shukri

Datuk Seri Mohd Shukri Abdull

PETALING JAYA: Cabaran terbesar yang dihadapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah rakyat suka mempolitikkan masalah rasuah.

Malah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, tidak kira ahli politik mana yang disiasat suruhanjaya itu, mereka tetap dimaki dan dianggap “anjing”, “hantu” atau “barua”.

“SPRM sangat bebas, tidak kira siapa (suspek itu) kami akan siasat. Tetapi masalah di Malaysia ialah rakyat suka mempolitikkan masalah rasuah.

“Jika kami siasat seorang ahli politik, orang ramai akan menganggap SPRM sebagai alat parti lawan. Contohnya ketika siasat kerajaan, kami akan dianggap alat parti lawan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama China Press menjelang persaraannya pada Oktober nanti.

Beliau bagaimanapun berpendapat, dimarahi kerajaan atau parti pembangkang bukannya perkara buruk kerana ia boleh membuktikan SPRM adalah badan yang bebas.

Shukri memberi contoh ketika SPRM menyiasat orang UMNO, kes kematian Teoh Beng Hock dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pelbagai pihak mengadakan demonstrasi jalanan besar-besaran dan menuding jari ke arah SPRM.

Beliau menjelaskan, siasatan ke atas ahli politik paling sukar, justeru beliau menggesa rakyat mengubah cara pemikiran dan memberi sokongan penuh kepada SPRM atau orang jahat (merujuk kepada SPRM) akan terus wujud.

“Yang saya sedih ialah di Singapura, Hong Kong malah Thailand tidak ada keadaan seperti ini.

“Saya kagum dengan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK). Apabila mereka siasat sesiapa pun termasuk ahli politik, hampir semua rakyat akan menyokong mereka sepenuhnya, tiada orang yang akan menyusahkan mereka.

“Jika ada pihak yang menyusahkan KPK, rakyat akan bersatu mengadakan demonstrasi, inilah sokongan rakyat dan ini juga faktor suruhanjaya pencegahan rasuah di negara itu berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Shukri mendedahkan ada pihak yang cuba menganiaya beliau pada 1987 dengan menyembunyikan dadah dalam kereta.

Kejadian itu berlaku ketika beliau memegang jawatan Ketua Bahagian Siasatan SPRM Pulau Pinang.

“Pada hujung minggu itu, selepas selesai makan tengah hari saya tiba-tiba hendak mengemas kereta dan secara tidak sengaja menemui dadah seberat 1 kilogram disembunyikan di bawah karpet tempat memandu.

“Saya segera membawa beg kuning itu ke balai polis untuk membuat laporan dan keesokannya saya ditahan polis ketika bertugas di Seberang Perai.

“Saya masih ingat ketika itu tangan saya digari, polis memeriksa kereta saya dengan teliti namun tidak jumpa apa-apa pun.

“Saya tidak dapat bayangkan jika polis tangkap saya ketika ‘memiliki dadah’ sehari sebelumnya, macam mana saya hendak nafikan?” soalnya.

Sehingga hari ini, Shukri masih tidak tahu siapa yang menganiayanya, namun beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada dendam.

“Selepas kejadian itu, saya ditukarkan ke ibu pejabat SPRM namun saya tidak gentar sebaliknya terus berkhidmat dalam SPRM,” tegasnya.

Mengenai rancangannya selepas bersara, Shukri berkata, beliau belum ada sebarang perancangan namun matlamatnya sudah tercapai dan beliau tidak akan kembali kepada SPRM lagi.

“Saya ada terima beberapa tawaran tetapi belum putuskan. Saya mungkin jadi pesara sepenuh masa. Sekarang saya akan fokus selesaikan tugas saya sehingga Oktober ini, masih ada banyak kerja yang perlu diselesaikan sebelum bersara,” katanya.