Chandra: Pengundi Islam tidak akan sokong PAS kerana hudud

hudud chandra

PETALING JAYA: Usaha PAS ke arah pelaksanaan hukum hudud tidak akan memberikan pulangan undi kepada parti itu, kata Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar, menulis dalam akhbar The Star hari ini.

Menurutnya, sudah berulang kali umat Islam mengenepikan persoalan dogma dan memberikan sokongan mereka berdasarkan pertimbangan ekonomi, kesihatan dan pendidikan.

Chandra berkata majoriti pengundi Melayu masih memilih Umno walaupun mengiktiraf kelayakan PAS dalam hal ehwal Islam.

Ini, katanya, membuktikan mereka masih menitikberatkan keamanan dan pembangunan ekonomi daripada kesetiaan terhadap sebarang dogma.

“Sikap umat Islam yang demikian inilah memberi harapan kepada kita yang di masa susah, akan muncul minda yang rasional dan bijak di kalangan rakyat manakala dogma bertopengkan agama akan ditolak,” tulis bekas pemimpin pembangkang itu.

Chandra mempersoalkan tindakan PAS menggunakan syariah bagi memancing undi susulan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian di Dewan Rakyat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lalu.

RUU itu bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah 1965, untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat seterusnya membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Menurut Chandra, perjuangan PAS menuntut undang-undang syariah dan hukum hudud akan gagal memberikan parti itu sokongan orang ramai.